SEREMBAN: Pengurusan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya membawa ketidakstabilan dan mendatangkan lebih banyak masalah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi amaran, lebih banyak krisis akan timbul apabila kerajaan negeri tidak mempunyai sekurang-kurangnya majoriti mudah di DUN.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, banyak perkara akan dipertikaikan seperti dasar dan perbelanjaan kerajaan selain pelaksanaan program kerajaan.
“Tidak mungkin kita boleh menjalankan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti kerana banyak perkara yang boleh dipertikaikan.
“Kamu tidak mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi. Jadi ia akan menimbulkan lebih banyak krisis pada masa depan,” katanya kepada para pemberita semalam.
Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan telah menghantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk memaklumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di DUN.
Jalaluddin berkata, permohonan itu telah dihantar petang semalam selepas 14 orang ADUN dari Barisan Nasional membuat pengisytiharan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
“Sehingga kini, saya belum dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar tetapi bersedia dipanggil pada bila-bila masa,” katanya.
Semalam, Aminuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga ADUN Sikamat berkata, Tuanku Muhriz telah menasihatkan beliau supaya meneruskan pentadbiran kerajaan negeri seperti biasa.
Menurut Jalaluddin, antara jalan terbaik menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku ketika ini ialah mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
“Apabila kemelut ini berlaku, saya fikir elok kita serahkan balik kepada rakyat untuk dapatkan mandat baharu. DUN harus dibubarkan,” ujarnya.
Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan adalah satu pilihan yang boleh dilaksanakan untuk mengembalikan semula kestabilan politik di negeri ini. – UTUSAN










