PUTRAJAYA: Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, bersetuju untuk terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hasil daripada pertemuan dan perbincangan beliau dengan kesemua 14 wakil rakyat itu pada hari ini.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN daripada Negeri Sembilan untuk melihat semula bahawa (mereka) tidak berhajat untuk ‘retract’, tetapi kita mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang tetapi adalah untuk menentukan institusi yang saya sebutkan itu berjalan dengan baik.
“Namun keputusan yang telah dibuat oleh Biro Politik dan pertemuan saya dengan semua ADUN-ADUN memperlihatkan bahawa di samping kita menghormati keputusan yang dibuat oleh ADUN-ADUN berkenaan, tetapi parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN yang telah saya temui itu bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan agar tidak berlaku sebarang penggugatan demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dan menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd dan rakan kerjasama strategik di sini hari ini.
Sebelum ini, kesemua 14 ADUN BN sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN Sikamat mewakili PKR.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tindakan itu diambil kerana kecewa dengan krisis institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, selain memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, langkah yang dibuat oleh kesemua 14 ADUN di Negeri Sembilan itu merupakan satu langkah yang berniat baik agar institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan dapat dihormati serta didukung oleh semua rakyat di negeri tersebut, khususnya oleh ADUN daripada UMNO dan BN.
“Dan apabila terdapat persepsi dan juga tafsiran yang agak berbeza daripada niat asal mereka, saya telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN daripada Negeri Sembilan itu,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, negara ketika ini sedang menghadapi permasalahan ekonomi global, justeru semua harus bersatu hati untuk bersama-sama, bukan hanya menangani masalah, tetapi untuk terus mendukung apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
”Apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri adalah bagi mewujudkan kestabilan politik demi untuk kita bersama-sama menghadapi apa yang disebut sebagai krisis global ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Ditanya sama ada langkah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, namun pada masa sama masih menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus dihadapi secara bersama.
“BN dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perjanjian yang kita panggil sebagai Perjanjian 18 perkara. Di antara perjanjian itu jika ada dispute (pertikaian) atau ada permasalahan yang harus kita sama-sama depani, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk membincangkan apakah perkara yang boleh sama-sama kita mencapai penyelesaiannya.
“Dan pada hemat saya, Perdana Menteri selaku pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama,” katanya. – UTUSAN










