RUU Pendanaan Politik masih dalam kajian, perlu persetujuan semua parti

RUU Pendanaan Politik masih dalam kajian, perlu persetujuan semua parti

AZALINA Othman Said menghadiri Majlis MoU antara MMU dengan BHEUU di Dewan Persada Permata Dunia, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik masih berada dalam proses kajian, selain memerlukan persetujuan semua parti politik sebelum dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, persetujuan itu penting memandangkan parti-parti akan terikat dengan peruntukan itu selepas dikuatkuasakan.

Menurutnya, kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) bagi memastikan cadangan akta itu dapat dilaksanakan secara efektif.

“Pendanaan politik memang dalam proses dan sentiasa dalam pendekatan kajian oleh bahagian undang-undang. Namun, keputusan akhirnya bergantung kepada semua parti politik kerana merekalah yang akan menjadi pengguna kepada undang-undang itu.

“Ada sebahagian parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memang cakap tentang pendanaan politik dan bagi UMNO perkara ini selalu dibincangkan tetapi setakat ini belum sampai lagi ke BHEUU,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Multimedia Universiti (MMU) dengan BHEUU di sini hari ini.

Mengulas sama ada RUU itu dapat dibentangkan sebelum PRU16 akan datang, Azalina berkata, beliau tidak dapat memberi kepastian.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada beberapa reformasi perundangan lain termasuk Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 serta cadangan Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

“Sebelum PRU itu? Saya pun tak tahu. Saya susah nak komen sebab saya pun tak tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN