Maybank berpesta gol di Bukit Jalil

Maybank berpesta gol di Bukit Jalil

Pemain Maybank, Muhammad Khairul Norizam diasak pemain Angkatan Tentera Malaysia dalam aksi Liga Hoki Malaysia, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Maybank meneruskan rentak kemenangan mereka dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 8-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kapten Maybank, Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul wira pasukan apabila meledak hatrik sekali gus mengumpul 10 jaringan setakat ini.

Dalam aksi tersebut, Maybank membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang Eswaran George sebelum Najmi menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-17 dan ke-26.

Memasuki suku ketiga, Maybank mengukuhkan kedudukan mereka sekali lagi menerusi jaringan Najmi pada minit ke-33 sebelum Muhammad Rashid Baharom menjadikan kedudukan 5-0 10 minit kemudian.

Maybank menambah duka pasukan lawan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah pada minit ke-47 sebelum Muhammad Shahril Saabah menjaringkan gol padang tiga minit kemudian.

Mohamad Ashran Hamsani meledak gol terakhir Maybank pada minit ke-57 manakala gol sagu hati ATM diperoleh pada minit terakhir permainan menerusi jaringan padang Muhammad Hilmi Midi.

Selepas ini, Maybank berdepan cabaran getir apabila mereka dijadual bertemu TNB ThunderStars di venue yang sama pada 16 Mei ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN