IPOH: Seorang jururawat cedera di kaki dan badan setelah ambulans yang dinaikinya terbabas di Kilometer 285, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Johari Mohammad berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.41 petang berhubung insiden tersebut.
Katanya, kemalangan itu membabitkan ambulans sebuah syarikat swasta yang dalam perjalanan dari Gopeng ke Ipoh setelah menghantar pesakit.
“Ambulans tersebut dinaiki pemandu dan seorang jururawat di mana wanita itu tersepit di bahagian kaki kiri.
“Anggota segera membantu mangsa dengan menggunakan peralatan Rescue Tools dan operasi itu mengambil masa antara 15 ke 20 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan.
“Seramai 10 anggota dari BBP Simpang Pulai dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat pada pukul 6.17 petang,” katanya. – UTUSAN