Ambil tindakan kepada ahli gagal patuh keputusan UMNO - Johari -

Ambil tindakan kepada ahli gagal patuh keputusan UMNO – Johari

Johari Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli parti termasuk Ahli Parlimen yang gagal mematuhi keputusan Majlis Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO harus dikenakan tindakan disiplin supaya parti dilihat berlaku adil terhadap kira-kira tiga juta anggota dan mengembalikan keyakinan masyarakat.

Ketua Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, MKT telah memutuskan Ahli Parlimen UMNO supaya menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos lalu.

Katanya, UMNO telah memberi justifikasi jelas bahawa penarikan sokongan itu berikutan kegagalan kerajaan PN menguruskan krisis Covid-19 dan penyanggahan yang dibuat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

“Maka semua Ahli Parlimen UMNO mesti patuh kepada keputusan parti untuk menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN. Seramai 14 orang Ahli Parlimen UMNO telah membuat keputusan untuk patuh kepada keputusan parti, tetapi selebihnya masih belum menzahirkan pendirian mereka.

“UMNO mesti berlaku adil dan tidak bersikap berat sebelah atau double standard kepada lebih tiga juta ahli parti di seluruh negara. Sebelum ini parti telah mengambil tindakan disiplin terhadap ahli yang tidak taat kepada arahan parti sepertimana termaktub di dalam perlembagaan parti Perkara 20.8 (b) bahawa setiap ahli UMNO hendaklah mengikut perintah parti.

“Tindakan disiplin mesti diambil terhadap mana-mana ahli parti yang melanggar keputusan parti secara terang-terangan. Hanya dengan itu parti ini akan dihormati oleh ahli-ahli dan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin selepas apa yang didakwa sebagai kegagalan kerajaan yang dianggotai parti itu menangani isu Covid-19 dan kegagalan untuk merungkai ordinan-ordinan darurat seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kegagalan merungkai ordinan darurat mengheret negara ke dalam krisis perlembagaan yang jarang berlaku.

Penarikan sokongan 14 Ahli Parlimen UMNO itu juga sekali gus menghakis majoriti sokongan kerajaan PN yang didakwa mempunyai majoriti mudah. Muhyiddin kelmarin menegaskan beliau masih ada sokongan majoriti serta sedia dicabar di Parlimen pada September ini bagi membuktikan keabsahan kedudukannya.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua berkata: “UMNO lebih besar daripada mana-mana individu dan tiada ahli yang lebih penting daripada parti dan tidak kira apa dan berapa tinggi jawatan kerajaan yang dipegang oleh individu tersebut.”

Katanya, UMNO mesti konsisten dalam menguruskan parti serta tidak boleh membenarkan mana-mana ahli menggunakan parti ini untuk kepentingan diri atau untuk menyelesaikan masalah peribadi.

“Mereka yang mempunyai masalah peribadi sepatutnya menyesaikan masalah mereka sendiri tanpa melibatkan parti. Prinsip tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya (innocence until proven guilty) mesti diamalkan semua ahli. Apabila parti sudah membuat keputusan, setiap ahli mesti patuh kepada keputusan itu,” katanya.

Beliau yang juga ahli MKT berkata, tidak ada gunanya UMNO kekal bersama-sama kerajaan PN apabila kes harian dan jumlah kematian Covid-19 mencecah rekod tertinggi hampir setiap hari dan rakyat dan perniagaan sangat terkesan akibat pengurusan krisis Covid-19 yang lemah oleh kerajaan PN selama 17 bulan.

Katanya, keputusan UMNO bukan sahaja dapat membantu negara dan rakyat tetapi akan menentukan nasib parti itu pada pilihan raya umum yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2023.

“UMNO mesti dibersihkan dan perlu dihormati oleh semua ahli dan tiada mana-mana individu lebih besar daripada parti ini.

“Pada pendapat saya, negara ini memerlukan seorang Perdana Menteri interim yang mempunyai kepimpinan baik dan cekap bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi secepat mungkin supaya pilihan raya dapat diadakan bagi menyelesaikan kebuntuan politik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata PM interim harus mengurangkan beban rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana akibat kegagalan kerajaan PN serta mengembalikan dan mengekalkan keyakinan pelabur supaya mereka kekal di negara ini.

Johari juga menambah, apa lebih penting Malaysia memerlukan Perdana Menteri yang menghormati kepentingan Parlimen dan memahami peranan Raja Berpelembagaan sebagai semak dan imbang ke atas pentadbiran negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya