Transporter COD pelacur dapat upah RM4 hingga RM10 - Utusan Malaysia

Transporter COD pelacur dapat upah RM4 hingga RM10

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan 26 individu yang ditangkap dalam Op Noda dalam sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang satu sindiket pelacuran yang menggunakan MiChat bergerak aktif mencari pelanggan dengan mengiklan atau mempromosi kegiatan persundalan itu melalui aplikasi terbabit, sejak Mei lalu.

Malah, lelaki hidung belang juga tidak perlu bersusah payah untuk bergerak, kerana sindiket itu bukan sahaja akan mengirimkan beberapa gambar pekerja seks kepada mereka melalui aplikasi itu tetapi wanita-wanita itu juga akan dihantar ke lokasi pertemuan yang dipersetujui.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelanggan perlu membayar antara RM200 hingga RM300 untuk setiap servis mengikut wanita warga asing yang dipilih dengan menjelaskan caj terbabit secara tunai kepada penghantar.

Katanya, setiap pekerja seks akan dibayar antara RM100 hingga RM120 bagi setiap perkhidmatan, manakala penghantar atau transporter itu pula menerima upah antara RM4 hingga RM10 mengikut jarak penghantaran.

“Modus operandi ini menggunakan MiChat sebagai medium untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Mungkin juga mereka menjadikan rumah kedai, kediaman dan apartment sebagai lokasi kerana hotel tidak beroperasi ketika PKP ini.

“Selain itu, bagi kegiatan persundalan ini sindiket terbabit memperoleh keuntungan antara RM100 hingga RM120 hasil daripada setiap pekerja seks mereka yang ditempah pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Bagaimanapun, hayat sindiket itu tidak berpanjangan apabila Bahagian Jenayah D7 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah membuat serbuan menerusi Op Noda di tujuh premis dan menahan 26 individu termasuk lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga India yang bertindak sebagai penghantar dan penjaga premis.  

“Hasil risikan, polis turut menahan 16 pekerja seks yang terdiri daripada warga Vietnam dan Thailand termasuk seorang wanita tempatan berusia 21 hingga 54 tahun,” kata Ayob Khan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 37 unit telefon, 346 kondom, empat botol minyak pelincir, empat helai tuala, tiga tisu basah, satu gulung tisu, dua tiub KY Jelly, enam resit homestay, empat buah kereta yang digunakan penghantar dan wang tunai RM14,511.

Ayob Khan berkata, kesemua pekerja seks warga Vietnam dan Thailand itu dipercayai berada di negeri ini sebelum PKP dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Warga tempatan yang ditahan kini direman antara tiga hingga enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala bagi warga asing mereka ditahan di bawah Akta Imigresen selama 14 hari mulai 11 hingga 24 Julai,” katanya. 

Katanya, kesemua yang ditangkap juga disiasat di bawah kesalahan mengikut Seksyen 373 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta siasatan turut melibatkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Tambah Ayob Khan, sejak awal tahun hingga 10 Julai lalu, JSJ Johor membuat 155 serbuan Op Noda di seluruh negeri dan menahan 691 individu serta merampas wang tunai berjumlah RM72,069. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya