Tiga warga asing ditahan terlibat pergaduhan - Utusan Malaysia

Tiga warga asing ditahan terlibat pergaduhan

KEKECOHAN yang berlaku di pekarangan asrama pekerja kilang di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Polis menahan tiga lelaki warga asing selepas dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah asrama pekerja kilang di Sri Gading, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Muhamad Izzudin Runggai berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 33 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Pada petang tadi, polis menerima satu maklumat yang tular dalam media sosial mengenai rakaman video memaparkan kejadian pergaduhan sekumpulan pekerja di sebuah asrama pekerja kilang di Sri Gading.

“Susulan itu, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian. Hasilnya, dua lelaki yang merupakan warganegara Bangladesh serta seorang lelaki Sri Lanka kini ditahan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Muhamad Izzudin, dalam insiden berkenaan, seorang lelaki warganegara Sri Lanka yang merupakan pekerja di kilang tersebut turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini dilaporkan stabil.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Sabit kesalahan boleh memperuntukan hukuman denda ataupun penjara sehingga lima tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN