PETALING JAYA : Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan di Dataran Merdeka dekat sini, hari ini.
Memberitahu Utusan Online , Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ketika ini tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berkuat kuasa dan tiada siapa yang boleh melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita akan ambil tindakan ke atas sesiapa juga yang langgar SOP,” katanya ringkas.
Difahamkan, Azmi bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah turut dilihat berada di lokasi perarakan meninjau keadaan semasa.
Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan selepas peserta berkenaan diminta keluar barisan ketika berarak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka dekat sini.
Mereka mula bertindak agresif apabila dilihat melompat semasa melaungkan slogan ‘hidup rakyat’.
Tindakan itu menyebabkan perarakan berkenaan terhenti seketika selepas pihak polis membuat teguran supaya mereka menjaga penjarakan fizikal. – UTUSAN










