Tiada kertas siasatan dibuka terhadap Caprice - Polis

Polis tidak siasat Caprice

CAPRICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebarang kertas siasatan dibuka terhadap penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice berhubung kenyataan beliau yang mempersoalkan tindakan pendakwah, Ebit Lew ketika misi kemanusian di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Malah, setakat ini tiada sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perkara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, walau bagaimanapun orang awam adalah dinasihatkan untuk tidak menyebar atau membuat kenyataan yang berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang kerana ia merupakan satu kesalahan.

Kata beliau, tindakan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Siasatan juga boleh dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Justeru itu, orang ramai dinasihati agar tidak mensensasikan isu ini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika mendapati wujud pelanggaran undang-undang sebagaimana yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Caprice memohon maaf kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Ebit secara terbuka di Instagramnya.

Menerusi entri tersebut, Caprice turut mengakui kesilapan akibat bertindak mengikut emosi kerana perjuangannya demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, kontroversi berkenaan didakwa dicetuskan oleh Caprice apabila menegur Ebit selepas dia menerima rungutan daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan.

Caprice yang kini dalam Misi Kemanusiaan Untuk Palestin mendakwa kecewa dengan pendakwah terkenal itu kerana menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza sebagai bahan kandungan di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN