Lima PATI Myanmar tangkap ikan di zon larangan ditahan

Lima PATI Myanmar tangkap ikan di zon larangan ditahan

LIMA warga Myanmar ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri dan menangkap ikan di zon larangan dekat Pulau Jarak di Lumut, Perak, semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C yang melakukan aktiviti perikanan di kawasan Zon B dan melanggar syarat sah lesen, di kedudukan 8.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak, dekat sini malam tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang melaksanakan rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong mengesan bot yang mencurigakan itu di perairan Pulau Jarak kira-kira pukul 10 malam.

“Pemeriksaan mendapati bot Kelas C tersebut dikendalikan lima kru termasuk tekong dan disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan di kawasan terlarang Zon B dengan tidak mematuhi syarat sah lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahrizan, lima kru termasuk tekong berumur lingkungan 26 hingga 40 tahun disyaki warga Myanmar didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan.

Berikutan itu, jelasnya, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan jika disabit kesalahan mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 8(B) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.

“Semua kru dan tekong, bot serta hasil tangkapan ikan dianggarkan 80 kilogram diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, penahanan itu membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang- undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Beliau meminta orang ramai  menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya