Bas sarat pekerja kilang, tiga dikompaun - Utusan Malaysia

Bas sarat pekerja kilang, tiga dikompaun

SEBUAH bas kilang ditahan selepas pemandunya membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan dalam operasi di Taman Daya, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk dua pemandu dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM22,000 atas kesalahan dengan sengaja membawa penumpang melebihi had mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, perbuatan itu terbongkar ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik membuat sekatan jalan raya secara bergerak di Taman Daya, di sini bermula pukul 8 malam semalam.

Beliau berkata, polis menahan dua pemandu van dan bas kilang lelaki berusia 55 dan 59 tahun yang didapati gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu membenarkan kapasiti penumpang tidak melebihi 50 peratus di dalam kenderaan.

Katanya, ketika pemeriksaan dibuat ke atas kenderaan berkenaan mendapati kesemua tempat duduk di dalam kenderaan dipenuhi pekerja kilang serta tiada penjarakan fizikal.

“Susulan penahanan dua lelaki itu, polis telah menghubungi majikan pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang diminta tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun di bawah kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Pemandu van dan pemilik bas pekerja kilang tersebut dikompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang manakala bagi pemandu bas pekerja kilang telah dikompaun sebanyak RM2,000,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Padzli berkata, pihaknya mengingatkan kepada semua pemilik kenderaan dan penumpang supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh MKN dalam sesebuah kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya