PETALING JAYA: Jaguh tenpin boling negara, Siti Safiyah Amirah berada di landasan terbaik untuk mengintai gelaran juara Kejohanan Boling Terbuka Malaysia 2024 selepas menampilkan prestasi terbaik pada aksi kelayakan, hari ini.
Pemain berusia 33 tahun itu berkata, beliu mempamerkan konsisten dan mata yang diraih dilihat mampu untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia.
“Saya rasa boleh mengaut emas sebab permainan dan mata yang diraih sentiasa konsisten pada aksi kelayakan.
“Kalau saya teruskan momentum sebegini, saya mampu sampai ke peringkat final, Insya-Allah tiada yang mustahil dan ada peluang untuk menang Terbuka Malaysia tahun ini,” kata Siti Safiyah.
Kali terakhir Siti Safiyah merangkul gelaran Terbuka Malaysia ialah pada edisi 2005 yang mana beliau ketika itu merupakan pemain termuda dalam skuad negara.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Tenpin Boling negara, Ben Heng Boon Hian berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh skuad podium negara mahupun remaja.
Ini kerana aksi kelayakan hari ini menyaksikan hampir 90 peratus pemain negara berjaya menempah nama ke pentas final selepas lima hari berlangsungnya aksi kelayakan.
“Setakat hari terakhir aksi kelayakan ini, saya boleh cakap 90 peratus memang sudah layak ke final. Sememangnya itu yang saya jangkakan daripada pemain-pemain.
“Juara dunia kami, Natasha Roslan main dengan sangat baik dan saya teruja melihat beliau. Bagi Sin Li Jane, Gilian Lim, mereka benar-benar memberi 100 peratus komitmen ketika saingan kelayakan ini.
Perlawanan akhir pusingan pertama boling Terbuka Malaysia di Sunway Megalanes, Subang Jaya akan berlangsung esok manakala, pusingan kedua akan dijalankan pada Ahad.- UTUSAN









