JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz teruja setelah meraih kemenangan berharga di tempat lawan selepas menunjukkan kelab Korea Selatan, Pohang Steeler 2-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Pohang Steel Yard, di Pohang, Korea Selatan, kelmarin.
Menurut Munoz, skuad Harimau Selatan menggalas tugas dengan baik dalam misi mengutip tiga mata walaupun diberikan tentangan hebat skuad kendalian Park Tae-ha.
“Biarpun beraksi di tempat lawan, JDT kekal dengan falsafah permainan dengan memberi tekanan tinggi terhadap benteng lawan dan menutup ruang buat lawan untuk menguasai bahagian tengah.
“Saya berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Selatan yang memberikan aksi menakjubkan bagi memastikan kemenangan dan pemain sentiasa memberi reaksi positif untuk mengimbangi permainan selain tidak melakukan kesilapan yang ketara.
“Dalam permainan sukar seperti ini, penguasaan bola amat penting bagi memastikan setiap serangan yang dilancarkan lebih lancar dalam masa sama memberi tekanan kepada pasukan lawan, itu elemen penting buat kami,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, Marcos Guilherme menjadi wira buat JDT selepas dua jaringan yang dilakukan pada babak kedua menghadiahkan kemenangan pertama dalam saingan ACLE.
Bekas pengendali Watford berkata, kemenangan di tempat lawan itu menyuntik semangat Harimau Selatan dan meletakkan pasukan kembali di landasan yang tepat.
Dalam pada itu, Guilherme yang dijulang sebagai pemain terbaik permainan teruja dapat menghadiahkan tiga mata buat JDT dan mahu meneruskan sentuhan jaringan pada perlawanan akan datang. – UTUSAN











