ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah slot ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 11-3 selepas membelasah Penang FC 4-1 pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini petang tadi.
Biarpun memiliki kelebihan selesa, skuad kendalian Xisco Munoz tetap tampil dengan permainan agresif menyerang kubu lawan bagi memburu gol pembukaan.
Serangan bertali arus Harimau Selatan membuahkan hasil apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Mohd. Izwan Abdullah setelah bola terkena tangan Jose Porteria.
Bergson Da Silva yang gagal menyudahkan sepakan penalti pada perlawanan menentang Buriram United dalam saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) bulan lalu mudah memperdaya penjaga gol, Ramdhan Ab. Hamid pada minit ke-11.
Lima minit kemudian, gawang skuad Harimau Kumbang dibolosi lagi berpunca daripada sepakan lambung Dejan Petrovic ke dalam kotak penalti yang disudahkan oleh Nacho Mendez menewaskan Ramdhan pada minit ke-23.
Pada minit ke-28, Bergson menjaringkan gol kedua peribadinya namun jaringan tersebut dibatalkan setelah Yago Cesar yang membuat umpanan kepada penyerang naturalisasi kebangsaan itu berada di kedudukan ofsaid.
Sebelum tamat babak pertama, JDT berjaya menjarakkan kedudukan setelah lorongan bola Bergson ke dalam kotak penalti disudahkan oleh Shahab Zahedi.
Bersambung babak kedua, Munoz membawa masuk Daniesh Amirruddin dan Stuart Wilkin menggantikan Zahedi dan Bergson, sebelum Wilkin hampir mencipta jaringan pada minit ke-57 namun ditepis keluar Ramdhan.
JDT menambah derita buat pasukan pelawat setelah Hidalgo melebarkan kedudukan apabila menjaringkan gol menerusi rembatan dari luar kotak pada minit ke-72.
Ketika memasuki lima minit terakhir permainan, pasukan pelawat memperoleh gol saguhati setelah Stefano Brundo mencipta jaringan menerusi sepakan bebas ke penjuru kanan menewaskan Christian Abad pada minit ke-86.
JDT akan bertemu antara Kuala Lumpur City FC atau DPMM FC yang akan membuat perhitungan di Stadium Bolasepak Cheras, Ahad ini.-UTUSAN











