Kantung FAM penentu ketua jurulatih Harimau Malaya

Kantung FAM penentu ketua jurulatih Harimau Malaya

FAM memerlukan sumber kewangan besar jika mahu mendapatkan jurulatih luar negara yang memiliki rekod antarabangsa cemerlang. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengukur baju di badan sendiri dalam urusan memilih calon ketua jurulatih Harimau Malaya, dengan kemampuan kewangan badan induk itu menjadi antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, FAM perlu menilai kedudukan kewangan semasa sebelum memutuskan sama ada mahu mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi dari luar negara atau memilih calon yang lebih sesuai dengan kemampuan sedia ada.

Menurut Zulakbal, pemilihan jurulatih dari negara maju sememangnya boleh dipertimbangkan, namun perkara itu perlu disertai kemampuan kewangan yang kukuh bagi menampung kos gaji pasukan kejurulatihan yang dibawa, kontrak dan komitmen berkaitan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kejayaan sesebuah pasukan tidak semestinya terjamin hanya kerana persatuan sanggup membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan khidmat jurulatih ternama dan situasi itu telah berlaku kepada beberapa pasukan besar sebelum ini.

“Kalau habis berjuta-juta ringgit sekalipun, kejayaan belum tentu. Jadi, FAM perlu melihat kemampuan sendiri dan membuat keputusan berdasarkan kedudukan kewangan yang sebenar. Betul, kalau boleh kita nak dari Jepun atau Eropah yang berprestasi tinggi, tetapi, mampukah FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai latar belakang jurulatih yang sesuai, Zulakbal berkata, calon dari Eropah boleh menjadi antara pilihan memandangkan corak permainan yang diterapkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) banyak dipengaruhi pendekatan bola sepak Eropah.

“Perlu diakui, pemain dalam Harimau Malaya kebanyakannya adalah dari JDT. Jadi, kesinambungan itu perlu diteruskan dan saya melihat jurulatih dari Sepanyol sangat sesuai, FAM boleh cari jurulatih berkualiti dari negara itu berdasarkan bajet yang mereka ada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata jurulatih dari Jepun juga boleh dipertimbangkan berdasarkan pendekatan bola sepak negara itu, meskipun mendapatkan khidmat jurulatih Jepun pada tahap tertinggi mungkin sukar sekiranya tawaran kewangan yang dikemukakan FAM tidak cukup menarik.

“Kalau kewangan kita kukuh, kita boleh mendapatkan jurulatih yang dikehendaki. Tetapi kalau belum kukuh, kita perlu menggunakan apa yang ada dan memilih calon yang mampu kita tanggung. Kekalkan Tan Cheng Hoe juga salah satu pilihan yang baik buat masa ini,” katanya.

Dalam masa sama, Zulakbal berkata, kemampuan membayar gaji serta memenuhi komitmen kontrak perlu menjadi pertimbangan penting, khususnya ketika FAM masih berusaha memulihkan imej organisasi dan membina semula keyakinan pihak yang berpotensi memberikan tajaan.

Menurutnya, usaha mendapatkan penaja bukan perkara mudah, justeru FAM perlu memastikan setiap keputusan membabitkan perbelanjaan besar dibuat secara teliti dan bersandarkan perancangan kewangan yang realistik.

Beliau turut berpandangan bahawa proses penstrukturan semula FAM, termasuk penambahbaikan tatakelola dan urusan perpindahan ke Putrajaya, perlu diambil kira dalam menentukan kemampuan badan induk itu untuk menanggung kos pengurusan serta pelantikan ketua jurulatih.

Sehubungan itu, Zulakbal berkata, FAM perlu mempertimbangkan semua pilihan yang tersedia, termasuk mengekalkan Cheng Hoe sekiranya beliau memenuhi keperluan pasukan dan pakej kewangannya bersesuaian dengan kemampuan persatuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini