Tidak adil untuk saya jika perlu menunggu minggu depan atau tahun depan untuk bertindak- Ruhainies - Utusan Malaysia

Tidak adil untuk saya jika perlu menunggu minggu depan atau tahun depan untuk bertindak- Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon,Ruhainies menegaskan tindakannya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa memfitnah dirinya bukan bertujuan mengungkit semula isu, sebaliknya bagi mempertahankan hak dan maruah diri.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, berkata, dia tidak seharusnya menangguhkan tindakan hanya kerana perlu mengambil kira masa atau komitmen pihak lain.

Menurutnya, tindakan perlu diambil dalam tempoh munasabah memandangkan dakwaan berkenaan masih hangat diperkatakan dan memberi kesan terhadap dirinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ada nampak di Threads, orang kata saya sengaja membangkitkan isu. Isu fitnah ini timbul, takkan saya perlu tunggu garis masa orang lain pula hanya kerana individu itu mempunyai sesuatu acara?

“Tidak adil untuk saya jika perlu menunggu minggu depan atau tahun depan baru hendak mengambil tindakan.

“Saya juga perlu memikirkan diri sendiri. Siapa yang akan membantu saya?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wakil peguamnya di Cili Kampung, Sri Hartamas, di sini, semalam.

Sementara itu, peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop berkata, tindakan berkenaan diambil segera kerana dakwaan fitnah itu mula timbul pada 10 Oktober lalu.

“Kes fitnah ini timbul pada 10 Oktober lalu. Jika kami tidak mengambil tindakan sekarang, nanti selepas seminggu orang akan mengatakan perkara itu sudah lama.

“Jika ditangguhkan lagi, polis dan orang ramai akan mempersoalkan keseriusan kami,” katanya.

Seorang lagi wakil peguam daripada Tetuan Azainie & Fakhrul, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata, tindakan undang-undang itu perlu diambil bagi mengelakkan sebarang tanggapan bahawa Ruhainies menerima atau bersetuju dengan dakwaan berkenaan.

“Dalam kes fitnah, jika dibiarkan, ia seolah-olah kita bersetuju dengan dakwaan tersebut. Sebab itu tindakan diambil dalam tempoh munasabah, tambahan pula isu berkenaan masih hangat diperkatakan,” katanya.

Pada Selasa, Ruhainies memaklumkan sudah melantik dua peguam daripada dua firma guaman berbeza bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa menyebarkan fitnah membabitkan dirinya.

Antara dakwaan yang dipertikaikan ialah kononnya beliau menjalin hubungan sulit dengan seorang individu kenamaan.

Menerusi tuntutan berkenaan, ketiga-tiga individu itu diminta mengemukakan permohonan maaf, memberikan akujanji untuk menarik balik atau memadam semua kenyataan berunsur fitnah, menghentikan penyebaran tohmahan serta menanggung kos guaman.

Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh tujuh hari, pihak Ruhainies akan menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini