PAPAN tanda jalan yang disediakan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menunjukkan ke arah sesuatu tempat hendaklah jelas dan sempurna.
Bahkan, salah satu daripada tanggungjawab hakiki sesebuah PBT adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan baik, tidak cacat ataupun sakit mata memandang.
Sekiranya papan tanda jalan tersebut berada dalam keadaan lusuh atau berkarat, atau senget, maka orang ramai pasti merasa kurang keyakinan terhadap keberkesanan serta tadbir urus PBT berkenaan.
Justeru, penulis ingin menggesa agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya menukar papan tanda jalan yang cacat ini. Papan tanda jalan yang dimaksudkan terletak di Seksyen 17, iaitu JALAN MALUNG 17/19.
Sejujurnya, penulis pernah membuat aduan kepada pihak MBSA dengan menghantar e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam, pada 16 Mei 2024 lagi. Namun, pihak MBSA tidak memberikan apa-apa respons.
Penulis menghantar e-mel buat kali kedua, pada hari Rabu, 4 Mac 2026. Juga, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh PBT yang diberikan penarafan lima bintang ini.
Pada kesempatan yang ada, penulis telah membuat pemantauan ke lokasi pada pagi hari Ahad, 4 Oktober 2026, dan hari Khamis, 15 Oktober 2026. Adalah didapati bahawa pihak MBSA masih belum berbuat apa-apa, seperti di dalam gambar yang dirakam sendiri oleh penulis.
Moga, dengan tersiarnya aduan tentang keadaan papan tanda jalan yang hodoh di ruangan Forum ini, adalah diharapkan pihak MBSA dapat mengambil tindakan positif dengan kadar segera, demi kebaikan bersama. – UTUSAN
HAJI KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam, Selangor








