PAPAN tanda jalan yang disediakan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah bagi menunjukkan ke arah sesuatu premis hendaklah jelas dan sempurna.
Malah, salah satu daripada tanggungjawab hakiki sesebuah PBT adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan baik, tidak cacat ataupun sakit mata memandang. Ejaan di papan tanda jalan juga kenalah betul.
Sekiranya papan tanda jalan tersebut berada dalam keadaan lusuh atau berkarat, atau ejaannya salah, maka orang ramai pasti merasa kurang keyakinan terhadap keberkesanan serta tadbir urus PBT berkenaan.
Justeru, saya ingin menggesa agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya menukar papan tanda jalan yang menggunakan ejaan yang salah ini.
Papan tanda jalan yang dimaksudkan terletak di Seksyen 26. Ejaan yang betul ialah: JALAN IJOK 26/5. Pihak MBSA menggunakan ejaan: JALAN IJUK 26/5, ini adalah salah.
Setelah membuat tinjauan, saya mendapati bahawa aset ini terletak di dua lokasi. Satu, setentang dengan stesen minyak Petronas. Yang satu lagi pula terletak di depan Pencawang Elektrik (P/E) Kwan Yoon Fatt, seperti di dalam gambar.
Sejujurnya, saya telah pun memerhatikan situasi aset-aset tersebut sejak setahun yang lalu. Buat permulaan, saya telah menghantar e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam, pada 25 November 2025.
Namun, pihak MBSA tidak memberikan apa-apa respons. Saya menghantar e-mel buat kali kedua, pada hari Sabtu, 11 April 2026.
Maka, dengan tersiarnya aduan tentang kesalahan ejaan pada papan tanda jalan tersebut di ruangan Forum ini, adalah diharapkan pihak MBSA dapat mengambil tindakan positif dengan kadar segera, demi kebaikan bersama. – UTUSAN
HAJI KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam










