Harimau Malaya mampu tembusi 120 dunia

Harimau Malaya mampu tembusi 120 dunia

Skuad Harimau Malaya kini menduduki ranking 133 dunia selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026, baru-baru ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelompok 120 terbaik dunia bukan lagi sekadar sasaran buat Harimau Malaya apabila pengendali interim, Tan Cheng Hoe percaya peningkatan prestasi semasa mampu membawa skuad negara kembali ke kedudukan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keyakinan itu hadir selepas Malaysia meneruskan pendakian dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila naik lima anak tangga sejak April lalu untuk kini menghuni tangga ke-133 dunia.

Kemas kini terbaharu FIFA, kelmarin menyaksikan Harimau Malaya mengumpul 1102.09 mata selepas menambah 15.05 mata, sekali gus meneruskan perkembangan positif selepas berada di tangga ke-138 pada 1 April lalu.

Malaysia terlebih dahulu melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-136 pada kemaskini 11 Jun sebelum memperbaiki tiga lagi anak tangga dalam kemaskini terbaharu.

Bagi Cheng Hoe, peningkatan tersebut memberikan gambaran bahawa Malaysia masih mempunyai ruang untuk terus mendaki, namun momentum itu perlu disokong dengan peningkatan prestasi pemain secara konsisten.

“Ya, saya yakin pada masa akan datang, saya rasa kita boleh naik semula ke ranking ke-120. Kita memang ada keyakinan untuk peningkatan ranking dan saya mengharapkan permainan kita juga akan bertambah baik.

“Tetapi apa yang paling penting adalah apabila mereka tidak bersama dengan skuad kebangsaan, pemain perlu sentiasa meningkat dari segi teknikal, fizikal dan kemahiran ketika mewakili kelab masing-masing.

“Apa yang dilakukan bersama kelab sememangnya akan banyak membantu mereka apabila mereka datang untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa,” katanya kepada media.

Sasaran itu mempunyai asas tersendiri kerana Harimau Malaya pernah berada di tangga ke-116 dunia pada November tahun lalu sebelum merosot lima anak tangga kepada kedudukan ke-121 pada Disember.

Kini, Malaysia hanya dipisahkan 50.95 mata daripada Togo yang menghuni tangga ke-120 dunia dengan 1153.04 mata.

Justeru, setiap perlawanan antarabangsa selepas ini menjadi peluang penting buat skuad negara untuk mengumpul mata tambahan dan merapatkan jurang berkenaan.

Dengan aksi persahabatan Tier 1 menentang China bulan depan antara perlawanan yang menanti, Harimau Malaya mempunyai ruang untuk terus memperbaiki kedudukan jika mampu mencatat keputusan positif.

Sekiranya momentum tersebut dapat dikekalkan, kelompok 120 terbaik dunia yang sebelum ini pernah dicapai Malaysia kini berpotensi kembali menjadi realiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini