PETALING JAYA: Menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa bolos membuktikan Harimau Malaya bergerak sebagai satu pasukan dan menampilkan sisi berbeza pada kejohanan kali ini.
Rekod kebal tanpa bolos selepas empat perlawanan itu terhasil menerusi hubungan erat dan sikap saling membantu antara pemain serta barisan kejurulatihan dalam ‘wajah baharu’ Harimau Malaya.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pemain perlu berbangga dengan pencapaian itu tetapi tidak boleh terlalu selesa kerana pasukan perlu terus bekerja keras.
Katanya, Harimau Malaya perlu bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan dan pastinya kejayaan di Piala ASEAN FIFA bakal meletakkan pasukan di tahap lebih baik di mata lawan.
“Pasukan kita mencipta satu rekod yang terbaik. Empat perlawanan tanpa bolos gol, rekod yang terbaik. Kita kena bangga dengan apa pencapaian kita, tetapi kita perlu bekerja keras pada masa hadapan
“Kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan dan kita perlu bersedia daripada sekarang,” kata Cheng Hoe selepas Harimau Malaya menewaskan Vietnam 1-0 untuk menduduki tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026, kelmarin.
Menurut Cheng Hoe, kekuatan skuad negara sepanjang kejohanan banyak didorong semangat kebersamaan pemain yang saling menghormati tanpa mengira status, pengalaman atau usia.
“Kita nampak dari segi kekuatan pasukan adalah dalam ‘bonding’ mereka. Kita hormat satu sama lain, sama ada pemain bertaraf bintang, pemain bertaraf pengalaman atau pemain muda. Kita membantu satu sama lain. Ini adalah rahsia kejayaan pasukan,” katanya.
Cheng Hoe turut memberikan penghargaan kepada barisan kejurulatihan yang bekerja keras memastikan segala persiapan pasukan berjalan lancar sepanjang kempen, sambil menegaskan cabaran lebih besar menanti Harimau Malaya selepas ini.
“Pada masa sama, saya kena berterima kasih kepada kakitangan kejurulatihan. Mereka bekerja siang dan malam untuk memastikan semuanya berjalan lancar untuk kali ini kerana cabaran besar ada di depan mata kita.
“Kita perlu bekerja keras dan pastikan satu hari nanti kita berjaya di atas pentas yang lebih baik, lebih jauh lagi,” tambahnya.
Harimau Malaya menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta menerusi jaringan Fergus Tierney pada minit ke-61.
Dalam aksi final di venue sama, Indonesia pula muncul juara Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Thailand 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan. – UTUSAN











