PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari menepati ramalan menghadiahkan dua pingat emas dan sekali gus, melengkapkan sasaran kutipan enam emas oleh Kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Eain Yow yang diletakkan selaku pilihan pertama mudah menewaskan Abhay Singh dari India, manakala Sivasangari membenam Anahat Singh juga dari negara yang sama.
Kejayaan tersebut bukan sekadar melengkap enam pingat emas, malah, berpotensi besar untuk mengatasi sasaran yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Ini kerana skuasy masih mempunyai satu lagi emas yang perlu diburu iaitu menerusi acara berpasukan wanita bagi mempertahankan gelaran yang dimenangi pada Temasya Hangzhou, empat tahun lalu.
Selain dua emas daripada skuasy, Kontinjen Malaysia turut meraih pingat perak dan gangsa dalam sukan terjun.
Penerjun muda, Elvis Priestly Clement-Enrique Maccartney Harold beraksi cemerlang dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki apabila mengumpul 377.52 mata untuk membawa pulang pingat perak.
Sementara itu, penerjun wanita yang diwakili Ong Ker Ying-Lee Yiat Qing memenangi pingat gangsa setelah meraih 243.72 mata dalam acara 3m papan anjal seirama. – UTUSAN











