PETALING JAYA: Atlet karate negara, C. Shahmalarani enggan menjadikan habuan sebagai tekanan tambahan sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Shahmalarani turut menyambut baik inisiatif dari Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad yang menyediakan habuan khas buat atlet karate, namun enggan terlalu memikirkan soal ganjaran sebaliknya mengakui tanggungjawab juga semakin besar.
“Ini kali pertama dan inisiatif daripada Datuk Azmi. Kami sangat bersyukur kerana ia menjadi booster (suntikan semangat) untuk kami.
“Kami sudah lama mengorbankan masa, usaha dan tenaga untuk sukan ini. Jadi, ia bukan sekadar soal mendapatkan pingat emas, tetapi ia juga satu penghargaan yang sangat bermakna buat atlet.
“Tapi tanggungjawab juga semakin tinggi dan tekanan semakin meningkat, tetapi permainan sebenar bermula sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Shahmalarani menegaskan fokusnya kini adalah memastikan segala persiapan akhir berjalan lancar sebelum temasya membuka tirai pada 19 September ini.
“Pada fasa terakhir ini, tidak banyak yang boleh dilakukan. Kami cuma perlu menggilap apa yang ada, meningkatkan keyakinan dan turun memberikan segala-galanya.
“Persiapan berjalan dengan baik dan sekarang kami berada dalam fasa terakhir bersama atlet antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, skuad karate negara memperoleh suntikan semangat menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila MAKAF menjanjikan kereta Proton e.MAS kepada pemenang pingat emas temasya berkenaan. – UTUSAN










