PETALING JAYA: Separuh akhir China Masters menjadi pencetus keyakinan baharu buat beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk menukar kekecewaan dua penampilan terdahulu kepada cabaran lebih serius di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Shevon berkata, keputusan di Shenzhen itu hadir selepas mereka terkandas pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, sekali gus menunjukkan perubahan latihan yang dilakukan pasangan profesional berkenaan mula menghasilkan tanda positif.
“Masters China hadir pada masa yang tepat kerana kejayaan mara ke separuh akhir memberikan kami peningkatan keyakinan.
“Kami sudah bekerja selama beberapa minggu sebelum Kejohanan Dunia dan melakukan beberapa perubahan serta penyesuaian dalam latihan,” katanya.
Lebih menarik, Soon Huat-Shevon kini tidak lagi datang ke Aichi-Nagoya sekadar mengulangi misi lama selepas dua kali gagal melepasi suku akhir, sebaliknya mereka mempunyai keputusan terbaru untuk dijadikan ukuran terhadap perkembangan pasangan itu.
“Kejohanan Dunia mengecewakan, tetapi kami berjaya bangkit di China Masters.
“Itu menguatkan kepercayaan bahawa kami berada di landasan yang betul menjelang Sukan Asia,” katanya.
China Masters juga memberi gambaran positif kepada kumpulan latihan mereka apabila Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mara ke final manakala peralihan Ameer Amri Zainuddin sebagai individu yang mengetuai latihan profesional Soon Huat-Shevon turut berjalan lancar.
Shevon, 33, bakal membuat penampilan ketiga di Sukan Asia dan mengakui Aichi-Nagoya berpotensi menjadi penampilan terakhir mereka, sekali gus menjadikan sasaran pingat sulung lebih daripada sekadar memperbaiki rekod lalu.
“Ini mungkin Sukan Asia terakhir untuk kami berdua dan sudah tentu kami berharap dapat memenangi pingat serta mempunyai sesuatu yang boleh menjadi kenangan dan pencapaian bermakna buat kami,” katanya.
Selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik di Jakarta-Palembang 2018 dan pusingan kedua di Hangzhou 2022, cabaran kali ini adalah untuk membuktikan peningkatan yang ditunjukkan di Shenzhen benar-benar mampu dibawa ke pentas Sukan Asia. – UTUSAN











