Ab Ghani atau Shahril?

Ab Ghani atau Shahril?

Ab Ghani Hassan atau Shahril Mokhtar siapakah pilihan perwakilan untuk menduduki kerusi Presiden FAM. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertarungan merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada hari ini bukan sekadar pertembungan dua nama besar.

Sebaliknya, bakal menentukan wajah dan hala tuju baharu bola sepak negara untuk baki penggal 2025-2029 dan sejauh mana ia dicatur, terletak ditangan Datuk Ab Ghani Hassan atau Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Jika dilihat pada kekuatan kedua-dua calon, Ab Ghani yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari segi pengalaman pentadbiran bola sepak di peringkat tertinggi.

Kelebihan itu menjadi aset penting ketika FAM berdepan cabaran untuk memulihkan keyakinan peminat, memperkemas tadbir urus serta memastikan hubungan antara badan induk, MFL, kelab dan ahli gabungan berjalan lebih tersusun.

Namun, kelebihan pengalaman tidak semestinya menjadi ‘tiket’ automatik untuk menang kerana Shahril hadir dengan naratif berbeza kali ini, iaitu membawa perubahan dan reformasi dalam badan induk bola sepak negara.

Malah, sebelum ini beliau secara terbuka mengakui dirinya sebagai calon ‘underdog’ tetapi mahu menggunakan kedudukan itu untuk menawarkan pendekatan baharu kepada FAM yang lebih tersusun, khususnya pentadbiran.

Secara dasarnya, kredibiliti Shahril bukan calang-calang kerana beliau juga mempunyai latar belakang korporat selain pengalaman sebagai bekas Exco FAM dan kini Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Dalam masa yang sama, Shahril untuk mendapat sokongan daripada struktur bola sepak Selangor, sekali gus memberikan beliau jaringan tersendiri untuk ‘menembusi’ pemilih dalam kalangan ahli gabungan FAM.

Namun, persoalan paling menarik ialah sejauh mana manifesto kedua-kedua calon mampu diterjemahkan kerana idea yang menarik tidak semestinya cukup kerana penentu akhirnya ialah sokongan ahli gabungan yang mengundi.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, FAM memerlukan seorang presiden yang berani membuat keputusan, mempunyai hala tuju jelas serta mampu memimpin organisasi, bukannya sekadar bertindak sebagai pengikut.

Katanya, calon yang dipilih juga perlu bersedia memikul mandat daripada ahli gabungan, rakyat dan peminat yang mengharapkan perubahan terhadap pengurusan serta imej bola sepak Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa

“Kita tidak mahu kalau pemimpin baharu yang terpilih nanti yang selama ini kita anggap ‘berkokok di luar gelanggang’, tetapi apabila masuk gelanggang esok, apabila telah terpilih, kecut perut mereka. Seperti kata orang ‘ada pun tidak menambah dan tidak ada pun tidak mengurang’,” tegas Pekan.

Dalam pada itu katanya, kestabilan kepemimpinan penting supaya mandat yang diberikan oleh ahli gabungan dapat dilaksanakan dengan berkesan, selain memberi keyakinan kepada rakyat dan peminat terhadap hala tuju badan induk itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×