Qaisara pikat kem terjun negara

Qaisara pikat kem terjun negara

Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam (kanan) bersama Nur Aisy’ Innara Amir Hafiz beraksi dalam acara 10 meter platform seirama Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan. - IHSAN MALAYSIA AQUATICS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerjun muda Pahang, Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam mula mencuri perhatian kem terjun negara apabila disifatkan mempunyai pakej untuk digilap sebagai antara prospek masa depan acara 10 meter (m) platform wanita.

Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata, perkembangan Qaisara menjadi antara perkara yang diperhatikannya sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, namun enggan meletakkan penerjun muda itu sebaris dengan kelompok elit negara seperti Datuk Pandelela Rinong terlalu awal.

Menurutnya, usia muda Qaisara menjadi kelebihan utama kerana penerjun berkenaan sudah mampu melakukan terjunan dengan tahap kesukaran yang hampir menyamai penerjun Sarawak, Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, sekali gus memberinya tempoh lebih panjang untuk meningkatkan prestasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita melihat untuk masa depan, salah seorang yang mempunyai potensi ialah Qaisara dari Pahang. Usianya masih muda tetapi tahap kesukaran terjunannya lebih kurang sama dengan Eilisha Rania yang jauh lebih berusia.

“Jadi, dia masih mempunyai banyak masa untuk melakukan peningkatan dan memperbaiki terjunannya,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Selangor, kelmarin.

Bagaimanapun, Ken Nee mengingatkan Qaisara supaya tidak terlalu selesa dengan perhatian yang diterima kerana masih terdapat jurang besar untuk mencapai tahap penerjun elit, khususnya Pandelela yang memiliki tahap kesukaran terjunan lebih tinggi bagi membolehkannya meraih mata lebih besar.

Beliau berkata, kem terjun negara kini berdepan tugas merapatkan jurang antara kelompok podium dan pelapis selepas beberapa faktor termasuk pandemik Covid-19, pertukaran jurulatih serta perubahan dalam barisan penerjun memberi kesan kepada pembangunan skuad.

“Jurang antara penerjun podium dengan pelapis memang besar. Banyak perkara berlaku dalam tempoh beberapa tahun itu termasuk pertukaran jurulatih dan penerjun yang datang serta pergi.

“Sebab itu jurang semakin besar, sedangkan Pandelela masih berada di tahap tinggi,” katanya.

Qaisara ketika ini berada dalam program pelapis khas dan turut menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, namun pendedahannya di pentas antarabangsa perlu dilakukan secara berperingkat kerana usianya masih belum mencecah 14 tahun untuk beraksi dalam kategori terbuka.

Ken Nee berkata, prestasi Qaisara akan terus dipantau selepas SUKMA Selangor dan sekiranya perkembangannya mencapai tahap ditetapkan, penerjun muda itu berpotensi diberikan peluang lebih besar termasuk mencuba laluan kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini