SHAH ALAM: Gandingan kebangsaan, Aaron Tai-Noraqilah Maisarah Ramdan membuktikan keserasian mereka masih berbisa apabila mempertahankan emas beregu campuran untuk Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam.
Lebih manis, kejayaan itu mengulangi pencapaian mereka pada SUKMA 2024 di Sarawak sekali gus membolehkan Aaron menutup penampilan terakhirnya di pentas temasya dengan emas kedua berturut-turut dalam acara berkenaan.
Dalam aksi final di Pusat Konvesyen Setia City, semalam, Aaron-Noraqilah menundukkan pasangan Kelantan yang juga gandingan kebangsaan Kang Khai Xing-Chan Wen Tse 21-18, 21-23, 21-8 dalam pertarungan yang berlangsung selama tiga set.
Aaron berkata kemenangan itu cukup menggembirakan kerana dia dapat menghadiahkan emas kepada Melaka, terutamanya selepas terpaksa berdepan pasangannya dalam acara beregu lelaki sebelum ini, Khai Xing yang kali ini muncul sebagai lawan.
“Saya rasa gembira sebab boleh menang pingat ini untuk Melaka, negeri kita, tambahan pula ini Sukma terakhir saya, jadi memang manis dapat tutup dengan emas.
“Bagi saya, pertemuan dengan Khai Xing memang rasa tidak biasa sebab sebelum ini kami selalu bermain bersama, tetapi kali ini dia jadi lawan dan kami hanya anggap ia sebagai pertandingan untuk negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.
Noraqilah yang masih mempunyai satu edisi SUKMA selepas ini pula menganggap kejayaan tersebut sebagai hadiah perpisahan paling bermakna buat gandingan mereka, selepas Aaron bakal meninggalkan pentas temasya.
“Kiranya kemenangan ini bolehlah dianggap sebagai hadiah buat gandingan kami, lebih-lebih lagi ini Sukma terakhir Aaron,” katanya.
Dalam saingan beregu lelaki, Wilayah Persekutuan meraih emas menerusi Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen yang menewaskan gandingan senegeri, Damien Ling Tang Le dan Ethan Oh Joon Hui 21-16, 21-12.
Sementara itu, Perak turut meraih emas dalam acara beregu wanita apabila gandingan kebangsaan, Chong Jie Yu-Vannee Gobi bangkit menewaskan gandingan Wilayah Persekutuan, Leong Hwee Ling dan Teh Xin Ying 15-21, 22-20, 21-8. – UTUSAN











