PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki negara, Brendon Carolan, sedia memadam mimpi ngeri Speedy Tigers yang dibelasah 1-9 oleh Belgium tahun lalu, menjelang kempen Piala Dunia di Wavre, Belgium bulan depan.
Malaysia bakal berdepan laluan mencabar apabila diundi bersama tiga pasukan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu Belgium, Jerman dan Perancis dalam Kumpulan B, namun Carolan enggan melihat situasi itu sebagai satu beban kepada anak buahnya.
Pengendali dari Ireland itu, menegaskan peluang berdepan pasukan elit dunia perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukur kemampuan sebenar skuad negara dalam usaha mengejar sasaran jangka panjang untuk layak ke Sukan Olimpik.
Menurutnya, kem latihan selama lebih sebulan di Afrika Selatan memberi banyak manfaat kepada pasukan, khususnya dalam memperkemaskan aspek teknikal dan taktikal yang sering menjadi pemisah apabila berdepan pasukan bertaraf dunia.
“Dalam latihan, pemain sudah menunjukkan peningkatan dari segi kawalan bola dan tidak mudah kehilangannya.
“Kami bekerja keras memantapkan struktur pertahanan. Saya percaya dengan persediaan yang ada, pemain akan membuat lebih sedikit kesilapan di peringkat Piala Dunia nanti,” katanya.
Carolan berkata, fokus pasukan ketika ini lebih tertumpu kepada proses pemulihan dan penyegaran fizikal selepas menjalani jadual latihan yang padat sepanjang berada di luar negara.
“Kami sudah berada di luar negara selama 41 hari. Sekarang kami melakukan tapering untuk proses pemulihan pemain daripada kecederaan kecil.
“Latihan sekarang lebih kepada teknikal dan taktikal. Apabila tiba di Belgium nanti, intensiti akan dinaikkan semula untuk menyesuaikan diri dengan zon masa dan cuaca,” ujarnya.
Untuk persiapan terakhir sebelum kejohanan bermula, Speedy Tigers akan mengadakan aksi pemanas badan menentang Sepanyol yang dilihat mampu memberi gambaran lebih jelas mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan.
Walaupun Belgium, Jerman dan Perancis dianggap antara pencabar utama kejohanan, Carolan percaya Malaysia tidak seharusnya turun dengan mentaliti bertahan semata-mata, sebaliknya perlu berani mencabar pasukan-pasukan berstatus gergasi tersebut.
“Saya lebih suka melihatnya sebagai ‘Kumpulan Peluang’. Sasaran kita adalah Sukan Olimpik dan untuk layak, kita perlu mampu menewaskan pasukan dalam kelompok lapan terbaik dunia. Itu adalah hakikat yang perlu kita hadapi,” ujarnya.
Speedy Tigers menamatkan saingan di kedudukan ke-13 pada edisi terdahulu di India, namun kempen kali ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membuktikan bahawa mereka semakin hampir merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan terbaik dunia. – UTUSAN










