Real buru Rodri sedia jual Tchouameni kepada United

Real buru Rodri sedia jual Tchouameni kepada United

Aurelien Tchouameni berkemungkinan besar menyertai Manchester United pada musim baharu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Real Madrid dilaporkan bersedia membuat keputusan besar pada jendela perpindahan musim panas apabila membuka ruang untuk menjual Aurelien Tchouameni kepada Manchester United dalam usaha mengumpul dana bagi mendapatkan Rodri.

Perkembangan itu menyaksikan masa depan pemain tengah Perancis berkenaan di Santiago Bernabeu mula menjadi tanda tanya, meskipun sebelum ini dia dianggap antara tonggak penting dalam perancangan jangka panjang kelab gergasi Sepanyol tersebut.

United dilaporkan sudah mengemukakan pertanyaan awal mengenai Tchouameni yang dianggarkan bernilai 68 juta pound (RM370 juta), dengan pengurus, Michael Carrick mahu memperkukuhkan bahagian tengah pasukannya menjelang musim baharu.

Carrick dikatakan sedang mencari pemain tengah bertahan tulen yang mampu memberikan keseimbangan kepada pasukan, bagi melengkapkan gandingan bersama Andrey Santos dan Youri Tielemans.

Pada masa sama, fokus utama Real kini terarah kepada usaha mendapatkan Rodri yang semakin menjadi keutamaan selepas pemain tengah Manchester City itu mempamerkan aksi luar biasa di pentas Piala Dunia 2026.

Rodri muncul antara watak paling berpengaruh apabila membantu Sepanyol menjulang kejuaraan dunia, selain dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan hasil persembahan konsisten sepanjang kempen.

Kapten Sepanyol berusia 30 tahun itu dianggarkan bernilai sekitar 85 juta pound (RM462 juta) dan kontraknya bersama Manchester City hanya berbaki setahun sebelum tamat.

Walaupun Rodri dijangka terlepas permulaan musim baharu ekoran perlu menjalani pembedahan kecil pada bahagian belakang, Real tetap melihatnya sebagai pemain yang mampu menjadi tunjang baharu di bahagian tengah pasukan.

Jurulatih baharu Real, Jose Mourinho pada mulanya dilaporkan mahu mengekalkan Tchouameni yang masih mempunyai kontrak sehingga 2028, malah pemain tersebut difahamkan telah mencapai persetujuan lisan untuk melanjutkan tempohnya di Bernabeu.

Namun, perubahan strategi perpindahan serta peluang mendapatkan Rodri menyebabkan pendirian kelab mula berubah.

Menurut laporan SunSport, Real kini bersedia mempertimbangkan tawaran yang sesuai bagi pemain antarabangsa Perancis itu.

Tchouameni menyertai Real dari Monaco pada 2022 menerusi perpindahan bernilai 68 juta pound (RM370 juta) dan sejak itu berkembang menjadi antara pemain tengah terbaik Eropah.

Pengalaman beraksi di pentas tertinggi, termasuk berada dalam kesebelasan utama Perancis pada final Piala Dunia 2022 serta kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Real, menjadikan pemain berusia 25 tahun itu antara aset paling bernilai di pasaran.

Dengan usia yang masih muda, pengalaman di peringkat tertinggi serta profil yang menepati kriteria pemain sasaran United, Tchouameni kini muncul sebagai calon utama untuk memperkukuhkan revolusi baharu di Old Trafford. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN