PARIS: Tadej Pogacar mengakui mahu melupakan seketika dunia perlumbaan dan menikmati perkara-perkara kecil dalam kehidupan selepas melakar sejarah muncul juara Tour de France buat kali kelima, sekali gus menyamai pencapaian barisan legenda berbasikal dunia.
Kejayaan itu menyaksikan pelumba Slovenia berusia 27 tahun tersebut menyertai kelompok eksklusif yang pernah menjuarai perlumbaan berprestij itu sebanyak lima kali bersama Jacques Anquetil, Eddy Merckx, Bernard Hinault dan Miguel Indurain, namun baginya apa yang lebih bermakna adalah detik berdiri di podium sebagai juara.
“Ketika ini saya hanya mahu menikmati detik kemenangan di Tour de France. Sama ada kali pertama atau kelima, ia tidak memberi sebarang perbezaan kerana dapat memakai Jersi Kuning dan melintasi garisan penamat di Paris sebagai juara adalah sesuatu yang luar biasa.
“Saya tidak mahu memikirkan soal sejarah atau kelompok legenda. Apa yang saya mahukan sekarang ialah pulang ke rumah, berehat dan menikmati perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Saya sangat gembira dan bangga kerana setiap gelaran jelajah mempunyai kisah, makna dan emosi yang berbeza,” katanya.
Pogacar hampir menutup kempen gemilangnya dengan kemenangan pentas terakhir, namun impian itu dinafikan Mathieu van der Poel yang melancarkan kayuhan bertenaga pada baki 700 meter terakhir untuk menjuarai peringkat Champs-Elysees selepas kedua-duanya berjuang habis-habisan sepanjang 10 kilometer terakhir.
Dalam pada itu, Remco Evenepoel mengesahkan statusnya sebagai pencabar baharu gelaran keseluruhan selepas menangkis tanggapan bahawa dia tidak mampu bersaing dalam perlumbaan jelajah utama dengan menamatkan saingan selaku naib juara keseluruhan.
“Tiada sepatah perkataan pun antara kami. Kami hanya mengayuh habis-habisan sehingga ke garisan penamat, tetapi saya kehabisan tenaga. Kami sama-sama tahu perlu memberikan segala-galanya dan akhirnya dia berhak meraih kemenangan yang cukup indah,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










