LE LIORAN: Tadej Pogacar membalas dendam ke atas pencabar utamanya, Jonas Vingegaard apabila melakar kemenangan bergaya pada peringkat ke-10 Tour de France di Le Lioran, sekali gus mengukuhkan cengkaman dalam perebutan jersi kuning.
Juara empat kali dari Slovenia itu melancarkan serangan solo sejauh 16 kilometer sebelum garisan penamat dan menamatkan perlumbaan dengan kelebihan kira-kira 30 saat ke atas kelompok pengejar manakala Vingegaard sekadar menduduki tempat ketujuh, 44 saat di belakang.
Kemenangan itu turut menebus kekecewaan Pogacar di lokasi sama pada 2024 apabila dia ditewaskan Vingegaard dalam penamat dramatik, selain menjadi kemenangan peringkat ketiganya dalam edisi kali ini serta yang ke-24 sepanjang karier di Tour de France.
“Sejak sekian lama kami memang menyasarkan peringkat ini. Dua tahun lalu saya menamatkan perlumbaan di tempat kedua di sini di belakang Jonas, dan kali ini saya berjaya mengubah keputusannya,” kata Pogacar.
Pasukan UAE Emirates-XRG memainkan peranan penting apabila mengawal rentak perlumbaan sejak awal sebelum membuka laluan buat Pogacar melakukan serangan penentu yang gagal disahut pencabar-pencabarnya.
Pengarah Sukan UAE Emirates-XRG, Andrej Hauptman berkata, kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Pogacar di tangga teratas keseluruhan, malah menyuntik keyakinan tinggi kepada seluruh pasukan menjelang laluan lebih mencabar.
“Kami tahu Jonas seorang juara hebat dan tewas kepadanya bukan sesuatu yang memalukan. Tetapi hari ini Tadej menang semula dan ia sangat penting untuk moral pasukan,” katanya.
Sementara itu, Vingegaard yang pernah muncul juara Tour de France sebanyak dua kali enggan mengibarkan bendera putih walaupun kehilangan masa berharga, sebaliknya yakin peluangnya masih terbuka.
“Kaki saya semakin pulih dan saya tidak sabar untuk menghadapi lebih banyak pendakian. Perlumbaan masih panjang,” kata pelumba Denmark itu.
Persaingan dijangka kembali memuncak pada peringkat ke-14 di kawasan pergunungan Vosges, Sabtu ini, yang dilihat mampu menjadi pentas baharu buat dua seteru utama itu meneruskan pertarungan merebut gelaran Tour de France. – AGENSI/UTUSAN










