EVIAN: Remco Evenepoel percaya perubahan bentuk fizikal menjadi faktor utama di sebalik peningkatan prestasinya apabila berjaya membuktikan dirinya mampu bersaing dengan kelompok pendaki terbaik dalam saingan Tour de France peringkat ke-17, malam esok.
Pelumba Belgium berusia 26 tahun itu mengambil keputusan luar biasa apabila tidak menyertai sebarang perlumbaan selama lebih dua bulan selepas Liege-Bastogne-Liege pada April, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan intensif mendaki dan menurunkan berat badan.
“Bagi saya, ini sesuatu yang baharu kerana buat kali pertama dalam karier saya, saya mampu mengikut rentak pendaki terbaik dunia di pendakian yang begitu sukar dan masih mempunyai tenaga untuk menamatkannya dengan baik.
“Semua ini memerlukan persiapan rapi. Apa yang saya tunjukkan adalah sebab mengapa saya memilih untuk tidak berlumba selama lebih dua bulan sebelum Tour de France,” katanya.
Evenepoel mengakui dia bukan pendaki semula jadi kerana memiliki susuk tubuh lebih tegap berbanding pencabar lain, sekali gus memaksanya mengubah komposisi badan bagi meningkatkan keupayaan di laluan pergunungan.
“Saya memilih untuk menjalani lebih banyak latihan mendaki dalam tempoh yang panjang bagi mengurangkan berat badan kerana dengan bentuk badan yang saya miliki sekarang, inilah satu-satunya cara untuk saya menghasilkan prestasi seperti ini.
“Prestasi seperti ini bukan datang secara semula jadi. Saya perlu bekerja keras untuk mencapainya,” katanya.
Bekas juara Vuelta a Espana itu bagaimanapun menegaskan usahanya masih belum selesai dan akan terus memberi tumpuan kepada setiap kayuhan kerana percaya kejayaan sebenar hanya akan hadir menerusi kesabaran serta persiapan yang berterusan. – AGENSI










