KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Brendon Carolan kini menerapkan dua strategi permainan berbeza kepada Speedy Tigers mengikut kesesuaian lawan menjelang kempen Piala Dunia Hoki 2026.
Menurut pengendali dari Afrika Selatan itu, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan setiap sistem permainan yang bakal dihadapi dalam kejohanan tersebut.
Katanya, persiapan pasukan ketika ini bukan lagi tertumpu kepada satu identiti permainan semata-mata, sebaliknya pemain dilatih untuk menghadapi pasukan yang mengamalkan sistem zon dan juga kawalan individu (man-to-man).
“Ya, saya rasa begitu. Kami sedang belajar untuk bermain menentang pasukan dan sistem yang berbeza, sama ada sistem zon atau kawalan individu.
“Secara faktanya, persiapan dibuat mengikut pasukan yang akan dihadapi. Jika anda menentang pasukan yang menggunakan sistem zon, anda perlu mahir bermain di antara garisan.
“Jika anda menentang pasukan yang menggunakan kawalan individu, sudah tentu secara fizikal anda perlu lebih kuat. Jadi, gaya permainan adalah berbeza bergantung kepada siapa lawan anda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun, Carolan menegaskan identiti utama Speedy Tigers tetap berasaskan corak hoki menyerang yang menjadi kekuatan pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kekuatan kami ialah menyerang. Kami bermain hoki dengan jenama yang cukup baik, cuma kami perlu lebih banyak memasukkan bola ke dalam gawang dan lebih mantap di bahagian pertahanan,” katanya.
Sebagai persiapan akhir, skuad negara akan berlepas ke Belgium pada 3 Ogos dan menjalani kem latihan selama enam hari di Kelab Hoki Gantoise di Gent sebelum mengadakan aksi persahabatan menentang Sepanyol di Wavre pada 13 Ogos.
Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Jerman pada 15 Ogos sebelum bertemu pasukan No.1 dunia, Belgium dua hari kemudian dan Perancis (19 Ogos) dengan kesemua perlawanan diadakan di Arena Hoki Belfius. – UTUSAN










