NEW JERSEY: Pelukan Lionel Messi dan Lamine Yamal selepas aksi final Piala Dunia 2026 kelmarin, menjadi simbolik penyerahan ‘obor’ perubahan era bola sepak dunia.
Ketika pemain-pemain Sepanyol meraikan kejayaan menewaskan Argentina tumpuan terarah kepada pertemuan istimewa antara Messi dan bintang muda La Roja, Yamal.
Messi, 39, yang dipercayai merupakan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia, dilihat berbual ringkas dengan Yamal sebelum kedua-duanya berpisah di tengah padang.
Momen tersebut segera menjadi tular di media sosial dengan ramai menyifatkannya sebagai antara detik paling bermakna sepanjang kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Menurut Yamal, dia sengaja mencari Messi selepas wisel penamat bagi menunjukkan rasa hormat kepada pemain yang dianggapnya sebagai figura paling hebat dalam sejarah bola sepak.
“Dia adalah pemain terhebat sepanjang zaman dan seseorang yang sentiasa saya kagumi. Selepas perlawanan, saya mahu menunjukkan rasa hormat kepadanya.
“Dia memberitahu saya supaya terus mengikuti laluan saya dan masa depan adalah milik generasi kami. Kata-kata itu sangat bernilai, sama seperti pingat emas yang tergantung di leher saya,” katanya kepada media Sepanyol, Marca.
Pengakuan Yamal itu menambahkan lagi nilai sentimental pertemuan berkenaan, terutama apabila ramai melihat pemain sayap Barcelona itu sebagai calon utama untuk meneruskan legasi yang pernah dibina Messi selama lebih dua dekad.
Pada usia 19 tahun, Yamal sudah mencipta pelbagai rekod luar biasa termasuk membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024 dan kini Piala Dunia 2026, mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain muda terbaik dunia.
Bagi Yamal sendiri, perjalanan yang dilaluinya terasa seperti sebuah mimpi yang sukar dipercayai.
“Jika seseorang memberitahu saya beberapa tahun lalu bahawa saya akan berada di sini, menjulang Piala Dunia selepas bermain menentang Lionel Messi, saya pasti menyangka mereka gila,” katanya.-AGENSI










