Malaysia pilih Jepun medan uji kemampuan

Malaysia pilih Jepun medan uji kemampuan

Nor Saiful Zaini Nasiruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki negara memilih Jepun sebagai gelanggang terbaik untuk mengukur kekuatan sebenar pasukan apabila bakal mengharungi lima aksi persahabatan sebagai persiapan memburu tiket ke Piala Dunia Remaja 2027 menerusi Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, September ini.

Ketua jurulatih negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pertemuan dengan skuad senior Jepun serta pasukan Bawah 21 Tahun (B-21) negara itu amat penting bagi menilai kemampuan sebenar pemain, terutama selepas hampir 80 peratus wajah dalam skuad kali ini terdiri daripada barisan baharu.

“Kami hanya mempunyai kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan terbaik bagi memastikan sasaran layak ke Piala Dunia Remaja menerusi Piala Remaja Asia dapat direalisasikan.

“Lima aksi persahabatan ini akan menjadi penanda aras buat kami mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan supaya segala kekurangan dapat diperbaiki sebelum kejohanan sebenar bermula,” katanya.

Nor Saiful berkata, sebaik menamatkan siri jelajah di Jepun, pasukan akan kembali menyusun program latihan terakhir sebelum berlepas ke China bagi menghadapi kejohanan yang menawarkan enam slot ke Piala Dunia Remaja.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang ringan cabaran pasukan Asia lain yang semakin menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Kami sedar Bangladesh, China, Jepun dan Korea kini semakin meningkat dan semua pasukan itu berpotensi menjadi pencabar utama dalam perebutan tiket ke Piala Dunia.

“Saya percaya dengan persiapan rapi, semangat juang tinggi dan komitmen semua pemain, kami mampu mencapai keputusan yang positif serta memenuhi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Malaysia dijadual memulakan aksi pemanas badan menentang skuad senior Jepun hari ini sebelum meneruskan empat lagi perlawanan menentang pasukan B-21 Jepun pada 8, 10, 11 dan 12 Julai sebelum pulang ke tanah air bagi melengkapkan persediaan menghadapi Piala Remaja Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN