GENTING HIGHLANDS: Resorts World Genting tidak menolak kemungkinan meningkatkan komitmennya dengan muncul sebagai penaja utama pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, sekiranya kerjasama semasa memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, syarikat itu sentiasa terbuka untuk memperluaskan bentuk kerjasama dengan mana-mana jenama yang berkongsi nilai serta hala tuju yang sama, termasuk Hakim Danish.
Menurutnya, walaupun perjanjian sedia ada dengan pelumba muda itu membabitkan tempoh setahun, peluang untuk meningkatkan taraf kerjasama sehingga menjadi penaja utama pasukan bukan sesuatu yang mustahil.
“Segalanya tidak mustahil. Kami sentiasa mencari peluang terbaik bersama jenama yang berkongsi DNA yang sama. Kalau ada cadangan yang memenuhi standard, nilai dan jangkaan perkongsian kami, mengapa tidak?
“Mungkin tahun depan kita dapat melihat satu tahap kerjasama yang lebih besar berbanding apa yang diumumkan hari ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Pelantikan Hakim Danish sebagai Duta Genting SkyWorlds di sini hari ini.
Mengulas mengenai nilai tajaan, Spencer enggan mendedahkan jumlah sebenar kerana menganggap kerjasama tersebut lebih daripada sekadar nilai kewangan.
Sebaliknya, beliau menyifatkan ia sebagai satu “perkongsian impian” yang dibina untuk jangka panjang, berteraskan persamaan identiti antara Genting SkyWorlds dan Hakim Danish sebagai duta.
“Kami tidak melihat kepada jumlah wang semata-mata. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kami membina satu hubungan yang boleh berkembang dalam tempoh panjang bersama Hakim,” katanya.
Dalam masa sama, Spencer memberi jaminan komitmen Resorts World Genting tidak bergantung kepada keputusan yang diraih Hakim Danish pada penghujung musim.
“Kami mahu dia berlumba dengan tenang tanpa tekanan sasaran yang terlalu tinggi. Tugas kami adalah menyediakan sokongan dan platform untuk dia terus berkembang,” ujarnya.
Spencer turut mengesahkan segala bentuk ganjaran termasuk bonus prestasi telah dirancang dan akan diumumkan secara berperingkat sepanjang tempoh kerjasama itu.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak syarikat korporat tempatan tampil membantu atlet muda negara kerana pembangunan sukan tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan semata-mata. – UTUSAN










