Slot dipecat, Iraola disebut ambil alih Anfield

Slot dipecat, Iraola disebut ambil alih Anfield

Andoni Iraola disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Arne Slot selepas membawa Bournemouth layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengembaraan Arne Slot di Anfield berakhir secara mengejut apabila Liverpool mengumumkan pemecatan pengendali dari Belanda itu selepas kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan kemerosotan prestasi ketara The Reds yang menamatkan saingan di tangga kelima liga, ketinggalan 25 mata di belakang juara baharu, Arsenal, meskipun membelanjakan hampir 450 juta pound (RM2.6 bilion) bagi memperkukuh skuad musim lalu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Liverpool menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat atas keperluan untuk membawa pasukan ke arah baharu.

“Kesimpulan yang kami capai adalah berdasarkan kepercayaan bahawa hala tuju pasukan perlu ditangani melalui perubahan pendekatan.

“Ia tidak menafikan segala usaha dan sumbangan Arne, malah bukan mencerminkan kekurangan kemampuannya sebagai jurulatih.Namun, kami merasakan pasukan memerlukan pendekatan yang berbeza,” kata kelab.

Slot pernah diangkat sebagai wira apabila berjaya menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 buat Liverpool pada musim pertamanya selepas menggantikan legenda kelab, Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan prestasi Liverpool merudum dengan 19 kekalahan dalam semua pertandingan dan hanya mengumpul 60 mata liga, pencapaian terburuk sejak musim 2015/16.

Situasi turut diburukkan dengan laporan ketegangan dalam bilik persalinan, termasuk kritikan terbuka bekas penyerang utama, Mohamed Salah, yang menyindir pendekatan taktikal Slot menerusi media sosial.

Malah, hantaran tersebut mendapat sokongan beberapa pemain Liverpool, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hubungan dingin antara pengurus dan skuad.

Sementara itu, pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Slot selepas membawa kelab itu layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah.

Pengurus dari Sepanyol itu turut mempunyai hubungan rapat dengan pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, yang pernah berkhidmat bersama Bournemouth. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN