VANCOUVER: Qatar berazam meneruskan momentum positif apabila berdepan tuan rumah bersama, Kanada dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Vancouver, esok.
Selepas mengutip satu mata seri 1-1 menentang Switzerland, skuad dari Asia Barat itu tekad melakar keputusan lebih baik sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Pemain tengah Qatar, Karim Boudiaf berkata, pasukannya sudah membuat persiapan rapi dan sedar cabaran besar yang menanti mereka, lebih-lebih lagi Kanada beraksi di laman sendiri.
“Kami membuat persiapan yang sangat baik untuk perlawanan ini dan memahami betapa pentingnya aksi menentang Kanada.
“Kami tahu ia bukan tugas mudah kerana Kanada mempunyai pemain berkualiti serta kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya.
Qatar hadir ke kejohanan kali ini dengan misi menebus kegagalan pada penampilan sulung mereka selaku tuan rumah Piala Dunia 2022 apabila tersingkir di peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.
Sementara itu, Kanada turut membuka kempen dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Bosnia dan Herzegovina di Toronto.
Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui dia perlu mencari jalan untuk memanfaatkan lebih ramai pemain utama selain memastikan pasukannya mempamerkan aksi lebih baik sejak awal permainan.
“Saya perlu memikirkan cara untuk memanfaatkan lebih ramai pemain utama dan memastikan kami mempamerkan prestasi lebih baik sejak awal.
“Kami mahu memastikan pasukan ini benar-benar bersedia dari awal bagi menghadapi semua perlawanan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










