KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mengambil risiko besar memecahkan gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam usaha memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, langkah berani itu telah dibincangkan bersama Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky serta ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
Menurut Chong Wei, BAM tidak mahu menunggu sehingga saat akhir untuk menguji kombinasi baharu, sebaliknya mahu memulakan eksperimen lebih awal bagi mengenal pasti gandingan yang berpotensi menghadiahkan emas Olimpik pertama Malaysia.
“Kita kena berani tukar pasangan. Kita akan uji selepas Terbuka Indonesia, mungkin di Jepun, Korea, Denmark dan Perancis. Jurulatih akan buat keputusan siapa pasangan siapa,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Chong Wei berkata, antara kombinasi yang sedang dipertimbangkan ialah menggandingkan Aaron bersama pemain muda, Tee Kai Wun manakala Wooi Yik dengan Man Wei Chong, untuk beberapa kejohanan sebagai sebahagian daripada penilaian jangka panjang.
“Kita jangan tunggu saat akhir. Tahun depan adalah tahun penting untuk kelayakan Olimpik.
“Biasanya Januari orang baru nak uji, tapi bagi saya lebih baik kita mula sekarang selepas Sukan Asia atau sebelum Sukan Asia. Kita kena tengok gandingan mana yang boleh sumbang emas pertama untuk negara,” katanya.
Bagaimanapun, Chong Wei berkata, Aaron-Wooi Yik masih perlu beraksi sebagai pasangan asal bagi memastikan kelayakan ke kejohanan penting termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Terdahulu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan badan induk itu menyokong keputusan tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM.- UTUSAN










