KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawai ke Pakistan dalam masa terdekat bagi mendapatkan keterangan 130 rakyat Malaysia yang ditahan di Rawalpindi, Pakistan pada 13 Oktober lalu.
Ia bagi siasatan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman selepas kesemua rakyat Malaysia itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di negara ini.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, penghantaran pegawai itu bertujuan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Pakistan, mendapatkan keterangan serta menjalankan analisis terhadap peranti yang dipercayai dirampas dalam serbuan berkenaan.
“Pihak JSJK akan meneliti bahan bukti yang dirampas, termasuk modus operandi sindiket yang dipercayai menggunakan pakaian seragam pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Komisioner (ACP), bagi tujuan memperdaya mangsa mereka dalam menjalankan kegiatan penipuan.
“Kami perlu mengatur pertemuan bagi mendapatkan keterangan daripada pihak berkuasa di sana, selain melihat bahan bukti atau peranti yang dirampas. Kami juga mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pihak yang membawa mereka ke Pakistan,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Rusdi berkata, pihaknya hanya menerima maklumat mengenai penahanan itu agak lewat walaupun tangkapan dilakukan pada 13 Oktober lalu.
Jelasnya, pengesahan mengenai kesemua 130 rakyat Malaysia terbabit diterima pada penghujung bulan berkenaan menerusi saluran polis, Wisma Putra dan Polis Antarabangsa (Interpol).
“Daripada jumlah itu, 59 individu berasal dari Sabah, 57 dari Sarawak manakala selebihnya dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan.
“Semakan mendapati 92 individu tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia manakala selebihnya mempunyai pelbagai rekod kesalahan termasuk berkaitan dadah, penipuan dan perjudian.
“Dua daripada mereka turut dikehendaki polis berhubung kes penipuan di Sabah,”jelasnya.
Mengulas mengenai status Imigresen, Rusdi berkata, 107 individu mempunyai visa yang sudah tamat tempoh selain 20 masih memiliki visa sah, dua mendapat lanjutan visa manakala seorang lagi tidak mempunyai visa.
“Analisis awal juga mendapati mereka tiba di Pakistan secara berperingkat antara 8 Jun hingga 29 September lalu, dengan ketibaan tertinggi direkodkan pada 3 Ogos membabitkan 53 individu,” jelasnya.
Beliau berkata, pada masa ini juga, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada rakyat Malaysia ditahan menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan.
“Namun berdasarkan pengalaman siasatan terdahulu, terdapat individu yang dipercayai mengetahui tujuan sebenar dibawa ke luar negara untuk melakukan kerja berkaitan sindiket penipuan dan memainkan peranan berbeza termasuk operator panggilan, tukang masak dan penyelia.
“Ada antara individu terbabit yang mendakwa tidak mengetahui kegiatan sebenar sindiket selepas dibawa pulang ke Malaysia walaupun siasatan mendapati peranan mereka dalam operasi berkenaan berbeza-beza,” katanya.
Sebelum ini, media Pakistan melaporkan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) menyerbu sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi, yang dipercayai dijadikan pusat operasi penipuan kewangan dengan menyasarkan mangsa di Malaysia.
Sindiket berkenaan dilaporkan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank dan polis, selain menggunakan dakwaan kononnya mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram bagi memperdaya mereka. – UTUSAN











