PDRM halangan terakhir Terengganu ke pentas final

PDRM halangan terakhir Terengganu ke pentas final

IHSAN KESATUAN RAGBI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Momentum tanpa kalah yang dibawa Terengganu sepanjang musim bakal diuji sepenuhnya apabila sekali lagi dijadualkan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, hari ini.

Pada pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini, Terengganu mencuri tumpuan apabila berjaya menundukkan PDRM dengan kemenangan tipis 26-25, sekali gus menafikan kelebihan lawan yang beraksi di laman sendiri.

Meskipun berstatus penyandang juara tiga kali berturut-turut, PDRM dilihat tidak berada pada tahap terbaik musim ini apabila gagal mengekalkan konsistensi selepas merekodkan dua kekalahan di peringkat kumpulan.

Ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal berkata, pertembungan kali ini dijangka berlangsung dalam suasana penuh tekanan buat kedua-dua pasukan memandangkan tiket ke final menjadi taruhan.

“Tekanan pastinya ada kepada kedua-dua pasukan. Terengganu bermain sebagai tuan rumah, manakala PDRM pula hadir dengan reputasi sebagai penyandang juara. Misi kami jelas untuk menang, namun kami tidak akan sesekali memandang rendah keupayaan lawan.

“Pertemuan terdahulu yang berakhir dengan kemenangan satu mata menunjukkan jurang antara kedua-dua pasukan cukup kecil dan aksi kali ini dijangka lebih sengit.

“Rekod tanpa kalah juga bukan jaminan untuk kami berasa selesa, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan naib juara tahun lalu, Johor bertemu Kelantan di Stadium Pasir Gudang, Johor, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN