PETALING JAYA: Jurulatih Kelantan, Syed Shazril Syed Mahadzir mengakui beberapa kelemahan telah dikenal pasti dan perlu diperbaiki segera menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong menentang PDRM, di Pulapol, Sabtu ini.
Syed Shazril berkata, daripada segi pelaksanaan pasukannya, mereka perlu lebih fokus khususnya disiplin pemain serta kebolehan membuat keputusan dengan baik pada saat-saat genting permainan.
“Kami juga ingin meningkatkan penguasaan bola dan memanfaatkan peluang mendapatkan mata dengan lebih baik. Selain itu, kami perlu kekal tenang dan melaksanakan perancangan permainan dengan intensiti dari awal hingga tamat perlawanan,” katanya.
Beberapa pemain Kelantan mengalami kecederaan susulan kemenangan mereka di peringkat suku akhir kejohanan namun Syed Shazril berkata, masih terlalu untuk mengesahkan status pemain menjelang pertemuan menentang PDRM nanti.
“Ya, kami ada mengalami beberapa kecederaan semasa perlawanan. Pasukan perubatan sedang menilai keadaan mereka. Masih terlalu awal untuk mengesahkan kesediaan mereka bagi aksi separuh akhir.
“Namun, dengan pemulihan dan rawatan yang sewajarnya, diharapkan sebahagian daripada mereka akan sempat pulih tepat pada masanya,” katanya.
Kelantan mara selepas mereka menewaskan Terengganu 55-38 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Gong Badak, kelmarin.
Kali terakhir Kelantan beraksi di kejohanan tersebut pada 2023 dan cabaran getir menanti mereka bertemu PDRM yang merupakan juara bertahan edisi lalu. – UTUSAN










