Kecederaan tidak jejas fokus PDRM buru hatrik

Kecederaan tidak jejas fokus PDRM buru hatrik

SKUAD PDRM berlatih di padang Pulapol, Kuala Lumpur semalam sebagai persiapan menentang Johor dalam final Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 pada Ahad ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecederaan beberapa tonggak utama skuad ragbi PDRM tidak menjejaskan persiapan dalam memburu kejuaraan hatrik menjelang perlawanan akhir Piala Agong 2025 menentang Johor di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, Ahad ini.

Ketua jurulatih PDRM, Dinesvaran Krishnan berkata, meskipun terdapat dua atau tiga pemain utama yang mengalami kecederaan, skuad PDRM mempunyai barisan pemain simpanan yang cukup bersedia untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Memang ada beberapa pemain utama cedera, tetapi skuad kami besar. Sentiasa ada pemain lain yang boleh ganti tempat mereka.

“Jadi isu kecederaan ini tidak menjadi masalah besar kepada kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi latihan pasukan, kelmarin.

Dinesvaran atau lebih dikenali Dugro menegaskan tumpuan utama kini adalah memastikan setiap pemain tampil dengan semangat juang dan komitmen maksimum pada aksi final nanti.

“Saya nak semua pemain beri 110 peratus. Keputusan perlawanan adalah hasil daripada persiapan kami.

“Jadi yang penting, semua perlu bersedia sepenuhnya dan berikan segala yang ada,” ujarnya.

PDRM yang juga juara dua edisi berturut-turut kini mengintai peluang mencipta hatrik kejuaraan Piala Agong, namun Dinesvaran menegaskan fokus utama pasukannya bukan sekadar kejuaraan, tetapi peningkatan prestasi dari semasa ke semasa.

“Kami sentiasa mahu jadi lebih baik daripada semalam. Setiap perlawanan, termasuk separuh akhir menentang Kelantan tempoh hari, kami ambil sebagai medan pembelajaran. Hatrik itu hanya ganjaran kepada kerja keras kami,” jelasnya.

Perlawanan akhir Piala Agong 2025 antara PDRM dan Johor dijangka berlangsung sengit dengan PDRM pastinya mengidamkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejohanan berprestij itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×