PETALING JAYA: Kepantasan pemain bakal dijadikan taruhan Perlis untuk memburu kemenangan apabila mereka dijadual menentang Johor dalam aksi separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, Sabtu ini.
Jurulatih Perlis, Mohd Hafiz Zainon berkata Johor merupakan lawan yang kuat dan tersusun daripada segi taktikal namun dia percaya pemainnya mampu memberikan cabaran kepada pihak musuh.
“Fokus kami adalah untuk mengekalkan organisasi pertahanan yang kukuh serta meningkatkan kecekapan di kawasan sendiri.
“Kami juga akan memanfaatkan kepantasan barisan belakang dan memastikan pasukan bermain dengan bijak serta berdisiplin sepanjang perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz turut berkata, beberapa pemainnya dilanda masalah kecederaan selepas menewaskan ATM 49-3 dalam aksi suku akhir kejohanan, Sabtu lalu dan kini masih memantau keadaan mereka.
“Ada antara mereka yang menunjukkan perkembangan positif, namun kami akan terus memantau keadaan mereka dalam beberapa hari akan datang sebelum membuat keputusan akhir. Kebajikan dan keselamatan pemain tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.
Tahun lalu Perlis menamatkan kejohanan tersebut di peringkat suku akhir selepas disingkirkan oleh PDRM yang merupakan juara bertahan hasil kejayaan menumpaskan Johor 43-29 pada aksi final. – UTUSAN










