Marsch mahu perbaiki prestasi Kanada

Marsch mahu perbaiki prestasi Kanada

Jesse Marsch
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Ketua jurulatih Kanada, Jesse Marsch mengakui pasukannya perlu segera menyesuaikan diri bagi menghadapi lawan berkualiti selepas tewas 2-1 kepada Switzerland dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026 yang menyaksikan mereka terlepas peluang beraksi di pusingan kalah mati di laman sendiri.

Dalam perlawanan yang berlangsung di BC Place, Kanada hanya memerlukan keputusan seri bagi menjuarai kumpulan dan melangkah ke pusingan 32 di Vancouver, namun gagal memanfaatkan kelebihan tersebut apabila bermula hambar sebelum dibolosi dua kali pada separuh masa kedua.

Switzerland membuka jaringan seawal 40 saat selepas rehat menerusi rembatan deras Ruben Vargas sebelum Johan Manzambi menggandakan kedudukan dengan gol ketiganya dalam kejohanan tersebut, sekali gus membungkam sorakan penyokong tuan rumah.

Kanada cuba bangkit pada penghujung permainan apabila pemain gantian, Promise David berjaya merapatkan jurang sejurus dimasukkan, namun usaha itu tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan ketiga mereka kepada pasukan Eropah dalam kejohanan berprestij itu.

Marsch berkata, pemainnya perlu lebih bersedia dalam mengharungi tekanan perlawanan besar terutama apabila berdepan pasukan berpengalaman seperti Switzerland.

“Switzerland merupakan pasukan yang sangat baik, berpengalaman dan bijak. Ia jelas ditunjukkan hari ini.

“Kami perlu belajar bagaimana untuk menghadapi perlawanan seperti ini dengan lebih baik dan lebih pantas kerana kami kini berada di fasa kalah mati, iaitu sasaran kami sejak awal,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan, semalam.

Marsch turut menegaskan bahawa pemainnya cenderung menjadi terlalu berhati-hati dalam situasi penting, sekali gus menjejaskan corak permainan agresif yang cuba diterapkan.

“Apabila perlawanan menjadi besar, pemain kadang-kadang menjadi terlalu tegang dan tidak bermain dengan bebas seperti sepatutnya,” katanya.

Walaupun kecewa gagal beraksi di Vancouver, Marsch tetap optimis menjelang aksi pusingan 32 di Los Angeles, sambil menyifatkan peluang Kanada untuk meneruskan kemaraan masih terbuka luas.

“Kami sedikit terlepas sasaran, tetapi kami masih berada di pusingan kalah mati dan akan memastikan kami lebih bersedia,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN