EAST RUTHERFORD: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann mengakui status selaku juara Kumpulan E memberi sedikit kesukaran kepada pasukannya apabila terpaksa menunggu sehingga saat akhir untuk mengetahui lawan pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia.
Menurut Nagelsmann, format baharu kejohanan yang melibatkan 48 pasukan menyebabkan juara kumpulan seperti Jerman mempunyai tempoh persiapan yang lebih singkat berbanding lawan yang sudah diketahui lebih awal.
“Saya rasa kami seperti dihukum kerana muncul juara kumpulan. Namun, apabila melihat kepada keseluruhan sistem dan algoritma pertandingan, ia memang sangat kompleks, lebih-lebih lagi dengan jumlah pasukan yang lebih banyak,” katanya.
Jerman sudah mengesahkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan menjelang aksi terakhir menentang Ecuador, namun hanya akan mengetahui lawan sebenar mereka selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan pada Sabtu ini.
Juara dunia empat kali itu akan menentang salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik dalam aksi pusingan 32 terbaik yang dijadual berlangsung Isnin depan di Foxborough.
Nagelsmann berkata, barisan kejurulatihannya sudah melakukan persiapan awal dengan mengkaji beberapa calon lawan yang berpotensi untuk dihadapi.
“Kami sudah bersedia dan telah meneliti lawan yang paling berkemungkinan. Jadi kami tidak perlu membuat persiapan secara tergesa-gesa pada Ahad kerana itu merupakan sesi latihan terakhir yang membolehkan kami melakukan perubahan taktikal.
“Memang ada sedikit tekanan dari segi masa, tetapi kami masih muda sebagai jurulatih dan jika perlu kami sanggup bekerja sepanjang malam,” katanya.
Jerman memulakan kempen dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao sebelum bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1, sekali gus memastikan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak menjuarai Piala Dunia 2014.
Sementara itu, Ecuador masih mengintai peluang untuk mara meskipun hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pertama.
Pasukan dari Amerika Selatan itu seri tanpa jaringan dengan Curacao sebelum tewas tipis 0-1 kepada Ivory Coast.
Jurulatih Ecuador, Sebastian Beccacece tetap optimis anak buahnya mampu mencipta kejutan pada perlawanan terakhir kumpulan.
“Kami sepatutnya memperoleh keputusan yang lebih baik. Prestasi yang dipamerkan menunjukkan kami berada di landasan tepat, cuma penyudah masih menjadi masalah.
“Inilah cabaran terbesar kami dan juga peluang terbesar. Saya tidak takut untuk gagal kerana jika kami sudah memberikan yang terbaik, tiada apa yang perlu dikesalkan. Saya yakin kami masih mempunyai peluang,” katanya. – AFP










