PARIS: Juara bertahan Coco Gauff menerima tamparan mengejut apabila tersingkir seawal pusingan ketiga Terbuka Perancis sekali gus membuka laluan lebih luas buat pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka memburu gelaran di Roland Garros.
Pemain muda Amerika Syarikat (AS) itu gagal mempertahankan momentumnya meskipun sempat mendahului set penentuan sebelum tewas 6-4, 6-7, 4-6 kepada pilihan ke-28 dari Austria, Anastasia Potapova dalam aksi mendebarkan hampir tiga jam.
Kekalahan tersebut menjadi penyingkiran paling awal Gauff di Paris sejak penampilan sulungnya enam tahun lalu sekali gus meneruskan ‘kutukan’ pemain pilihan utama yang tumbang awal pada kejohanan kali ini.
“Saya rasa di Terbuka Amerika Syarikat dulu tekanan mempertahankan gelaran lebih terasa tetapi kali ini sebenarnya saya tidak gementar.
“Itu yang lebih mengecewakan sebab saya rasa permainan saya sekarang jauh lebih baik tetapi saya gagal menunjukannya hari ini,” kata Gauff.
Dalam pada itu, Sabalenka terus membuktikan status selaku pilihan utama apabila mara bergaya ke pusingan keempat selepas menewaskan Daria Kasatkina 6-0, 7-5.
Kemenangan tersebut mengatur pertembungan panas menentang bekas juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka yang turut mara selepas menundukkan pemain muda Amerika Syarikat, Iva Jovic dalam pertarungan tiga set.
“Saya sudah bersedia untuk pertarungan itu dan saya sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kemenangan,” kata Sabalenka. – AGENSI/UTUSAN










