PARIS: Legenda tenis dunia, Novak Djokovic memberi bayangan kariernya di Terbuka Perancis mungkin sudah sampai ke penghujung selepas tersingkir pada pusingan ketiga, semalam.
Bekas pemain No. 1 dunia itu tewas mengejut kepada sensasi muda Brazil, Joao Fonseca 6-4, 6-4, 3-6, 5-7, 5-7 dalam pertarungan hampir lima jam di Roland Garros.
Kekalahan tersebut menjadi penyingkiran paling awal Djokovic di Paris sejak 2009 sekali gus memusnahkan impiannya memburu gelaran Grand Slam ke-25 dalam karier.
Apa yang lebih mencuri perhatian, pemain berusia 39 tahun itu seolah-olah memberi isyarat penuh emosi kepada penyokong ketika meninggalkan gelanggang dengan membuat simbol hati ke arah penonton Philippe Chatrier.
Apabila ditanya sama ada dia akan kembali beraksi di Roland Garros tahun depan, Djokovic hanya menjawab ringkas penuh misteri.
“Saya tidak tahu… saya benar-benar tidak tahu,” katanya.
Djokovic turut mengakui Fonseca layak meraih kemenangan selepas pemain muda Brazil itu mempamerkan permainan luar biasa sepanjang perlawanan.
“Saya ucap tahniah kepadanya kerana dia memang layak menang dan bermain pada tahap yang luar biasa.
“Semua orang akhirnya nampak kenapa banyak gembar-gembur mengenai dirinya kerana tahap permainan dipamerkan memang menakjubkan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










