Djokovic terus ‘bernyawa’, Rybakina tersungkur

Djokovic terus ‘bernyawa’, Rybakina tersungkur

Novak Djokovic mara selepas menewaskan Valentin Royer dalam pertarungan sengit tenis Terbuka Perancis di Roland Garros, Paris, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Novak Djokovic terus menghidupkan impian memburu gelaran Grand Slam ke-25 apabila mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis selepas menewaskan wakil tuan rumah, Valentin Royer dalam pertarungan sengit, semalam.

Pemain Serbia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 6-3, 6-2, 6-7, 6-3 dalam tempoh hampir empat jam sekali gus mengelak satu lagi aksi dramatik selepas turut kehilangan set pada pusingan pertama.

Djokovic yang kini berkongsi rekod 24 gelaran Grand Slam bersama legenda Australia, Margaret Court dijadual berdepan sensasi muda Brazil, Joao Fonseca pada aksi seterusnya.

“Saya harap selepas ini saya tidak perlu bertemu lagi pemain Perancis sepanjang kejohanan ini. Tekanan sentiasa ada tetapi saya tahu kemampuan sendiri dan saya masih sangat dahagakan kejayaan,” katanya.

Sementara itu, kejutan besar berlaku dalam saingan wanita apabila pilihan kedua dari Kazakhstan, Elena Rybakina tersingkir selepas tewas kepada pemain Ukraine, Yuliia Starodubtseva 3-6, 6-1, 7-6.

Kekalahan tersebut menjadi penyingkiran paling awal Rybakina dalam mana-mana kejohanan utama sejak Miami Open 2025 sekali gus membuka laluan lebih mudah buat pencabar lain di Paris.

“Saya gagal mencari rentak sebenar dan terlalu banyak melakukan kesilapan sepanjang perlawanan.

“Secara jujur saya sangat gembira kerana ini kemenangan pertama saya ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia,” kata Starodubtseva.

Turut mara ialah juara empat kali, Iga Swiatek, pemain No.2 dunia Alexander Zverev serta pilihan ketujuh wanita, Elina Svitolina yang meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN