PARIS: Impian Jannik Sinner untuk menjuarai Terbuka Perancis buat kali pertama lebur secara mengejut selepas keletihan melampau menjadi punca utama kejatuhannya di Roland Garros, kelmarin.
Pemain No.1 dunia itu tersingkir pada pusingan kedua selepas tewas 3-6, 2-6, 7-5, 6-1, 6-1 kepada wakil Argentina, Juan Manuel Cerundolo meskipun pernah berada di landasan selesa untuk menang.
Sinner sebelum ini dilihat calon paling kuat untuk muncul juara selepas mendominasi musim gelanggang tanah liat menerusi kejuaraan di Monte Carlo, Madrid dan Rom.
Bagaimanapun, jadual padat serta aksi berintensiti tinggi sepanjang musim akhirnya memakan diri apabila pemain Itali itu mula hilang tenaga selepas mendahului dua set dan 5-1 pada set ketiga.
“Saya mula rasa pening dan tenaga memang terlalu rendah sehingga sukar untuk terus bermain pada tahap terbaik.
“Saya cuba habiskan perlawanan secepat mungkin tetapi akhirnya saya benar-benar hilang tenaga,” katanya.
Cerundolo pula mengakui dia menyedari perubahan ketara pada rentak permainan lawannya sebelum mengambil kesempatan untuk bangkit melakukan antara kejutan terbesar kejohanan tahun ini.
“Perlawanan itu hampir mustahil untuk dimenangi tetapi saya terus percaya dan kekal fokus sepanjang permainan.
“Saya nampak tahap permainannya mula menurun dan saya hanya cuba bertahan serta berjuang untuk setiap mata,” katanya.
Kekalahan tersebut sekali gus membuka semula perebutan gelaran lelaki Roland Garros dengan Novak Djokovic, Alexander Zverev dan Casper Ruud kini dilihat antara pencabar utama untuk muncul juara. – AGENSI/UTUSAN










